Alhamdulillah, Ahad 30 Julai 2017 saya berpeluang menginap di Hotel Le Meridien Kota Kinabalu Sabah semalam atas urusan kerja. Ini rasanya kali kedua ke ketiga saya menginap di sini. Kali pertama rasanya 10 tahun lalu masa muda remaja masih lagi dalam YPC ( Young Professional Club ) untuk kem bina semangat.
Oh perkara yang paling menarik sekali untuk hotel ini ialah lokasinya. Lokasinya terletak betul-betul di hadapan Pasar Filipina dan deretan kedai makan. Di belakangnya pula ada pusat membeli-belah. Tidak jauh dari situ juga ada Waterfront Esplanade. Pusat beli-belah Suria Sabah pula 15 minit perjalanan. Suria Sabah merupakan pusat beli-belah terbaru dan tercanggih di kota KK.
Oh masa hendak daftar masuk terdapat sedikit isu pula di mana tempahan saya beberapa hari yang lalu tiada di dalam sistem. Staf hotel beritahu bilik harga korporat sudah habis! Kalau hendak juga kena bayar harga biasa RM 700++. Fuh mahalnya. Maka saya pun terfikir ambil sahajalah hotel lain. Saya minta dia periksa lagi dengan penyelia. Setelah beberapa ketika maka nama saya ada dalam sistem dan ada kesilapan teknikal. Syukur Alhamdulillah. Maka harga korporat dalam RM 400++. Banyak beza itu.
Masuk sahaja ke dalam bilik, wah besarnya. Katil ada 2 super super single rasanya. Ada macam biasa kelengkapan membancuh kopi dan teh, seterika, sejadah, LCD TV besar 55 inchi kut. Yang paling `best` pemandangan mengadap laut yang cantik boleh lihat pasar Filipina juga. Ini kalau bayar sendiri pun memang berbaloi puas hati. Suhu pendingin hawa pun nyaman dan sejuk. Bilik mandi yang ada `power shower` macam hujan juga! `Shower gel` dan `shampoo` disediakan juga dari jenama terbaik sekali. Memang lena lah tidur ini malam.
Alhamdulillah malam memang lena tidur seperti dijangka. Pukul 530 pagi sudah tersedar. Sini Subuh 615 pagi sudah habis. 630 pagi sudah terpacak di depan kafe untuk sarapan pagi. Sarapan pagi pun memang meriah macam-macam ada. Kemestian saya adalah `omolette`! Lain itu cuma sampingan sahaja. 30 minit juga layan makan `slow-slow`. Kemudian 740 pagi `check out` dan memulakan tugasan. Jumpa lagi!